AMALAN yang menghidupkan Ramadan ialah memperbanyakkan sedekah kerana
sikap bermurah hati pada Ramadan adalah dituntut. Ibn Abbas melaporkan:
"Rasulullah
adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan lagi pada
Ramadan ketika Jibril menemuinya lalu membacakan padanya al-Quran." (Hadis riwayat Bukhari)
Membaca al-Quran
Disunatkan memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan kerana ia
bulan al-Quran seperti firman Allah yang bermaksud:
"... bulan Ramadan
yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia
dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan)
perbezaan antara yang benar dengan yang salah." (Surah al-Baqarah, ayat
185)
Malaikat Jibril sentiasa bertadarus al-Quran dengan Nabi SAW setiap hari
sepanjang Ramadan. Para salaf mendahulukan bacaan al-Quran daripada
ibadah lain. Sebahagian salaf khatam al-Quran dalam masa tiga hari,
sebahagiannya tujuh hari dan 10 hari pada Ramadan.
Memberikan makan kepada orang yang berbuka puasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang memberikan makan
kepada orang yang berpuasa, maka baginya seperti pahala (orang yang
berpuasa) dalam keadaan tidak berkurung sedikitpun dari pahala orang
yang berpuasa itu." (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibn Majah dan
ad-Darimi)
Qiamullail
Disunatkan berjaga malam secara berjemaah pada bulan Ramadan iaitu solat
terawih dan waktunya di antara solat Isyak hinggalah terbitnya fajar.
Nabi sangat gemar mendirikan malam pada bulan Ramadan. Rasulullah bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa menghidupkan Ramadan dengan
keimanan dan pengharapan pahala daripada Allah Taala, maka akan
diampunkan segala dosanya yang terdahulu."
(Hadis riwayat Bukhari)
Solat tarawih
Solat tarawih adalah solat khusus yang hanya dilakukan pada Ramadan.
Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya
dilakukan secara berjemaah di masjid. Di sesetengah tempat, sebelum
solat tarawih, diadakan ceramah singkat bagi menasihati jemaah.
Mengerjakan umrah
Perkara disunatkan pada Ramadan adalah mengerjakan umrah berdasarkan
sabda Baginda SAW yang bermaksud:
"Umrah pada Ramadan (pahalanya) sama
dengan (pahala) mengerjakan haji atau mengerjakan haji bersamaku."
(Hadis riwayat Bukhari)
Zakat fitrah
Zakat fitrah dikeluarkan khusus pada Ramadan atau paling lambat sebelum
selesainya solat sunat hari raya. Setiap Individu Muslim yang
berkemampuan wajib membayar zakat fitrah. Nilai zakat fitrah adalah satu
gantang makanan ruji atau setara dengan 2.7 kilogram beras.
Sumber: Islam Itu Indah
Tidak ada komentar:
Posting Komentar